Tuesday, 28 February 2012

SIRAH

UNIT 1: SAIDATINA FATIMAH AZ-ZAHRA’
PUTERI RASULULLAH

 


















BIODATA  SAIDATINA FATIMAH AZ-ZAHRA’

  • Nama        :  Fatimah binti Muhammad Rasulullah   (Puteri bongsu Rasulullah)
  • Keturunan:  Quraisy
  • Tarikh Lahir:  20 Jamadil Akhir (5 tahun  sebelum Rasulullah menerima wahyu)
  • Tempat Lahir   :  Mekah al-Mukarramah.
  • Gelaran            : Az-Zahra’ ( Putih berseri)
  • Nama Suami    :  Ali bin Abi Talib.
  • Nama Anak      : Hassan, Hussain dan Zainab.
  • Tarikh Wafat    :  4 Jamadil Awal 11 Hijrah (6 bulan selepas kewafatan Rasulullah)
  • Umur Ketika Wafat      :  28 tahun.
  • Tempat Dimakamkan     : Al-Baqi’ di   Madinah al-Munawwarah.

SIFAT MULIA  SAIDATINA FATIMAH AZ-ZAHRA’
                 
                1.   Sabar menghadapi musibah 
                      kematian keluarga.
  1. Bersabar menghadapi kematian ibunya Saidatina Khadijah, kakaknya Ruqayyah, Zainab dan Umi Kalsum.
  2. Mengambil tempat ibunya menjaga Rasulullah.
  3. Bersabar atas kematian ayahandanya Rasulullah (orang yang paling disayanginya)

                  2.  Mentaati ayahandanya.

  1. Menjaga ayahandanya selepas kematian ibunya.
  2. Menjaga makan minum dan pakaian ayahandanya seperti ibunya sehingga mendapat panggilan timangan oleh  Rasulullah dengan (Ummu Abiha) yang bermaksud (ibu kepada ayahnya).
  3. Tidak berkahwin sehingga ayahandanya berkahwin dengan Saidatina Aisyah.
  4. Walaupun mas kahwin yang diberikan tidak mahal, beliau mentaati keputusan ayahandanya.

                  3.  Reda menghadapi kesusahan.

    Walaupun sering kekurangan makanan, beliau tetap menghadapinya dengan reda.

                  4.  Taat kepada suami.

  1. Setia kepada suaminya sejak awal perkahwinan walaupun  menerima mas kahwin yang rendah.
  2. Menjaga maruah sebagai seorang isteri dan tidak pernah keluar rumah tanpa mendapat keizinan suaminya.
  3. Membantu suaminya melakukan kerja-kerja harian seperti menumbuk gandum, menguli tepung dan membakar roti.
  4. Beliau tidak pernah ingkar suruhan suaminya.
  5.  Sentiasa menyokong perjuangan suaminya menjalankan dakwah bersama-sama Rasulullah.

                 5.  Berjaya mendidik anak- anaknya.

  1. Hassan, Hussain dan Zainab tidak pernah membantah dan menderhaka kepada Saidatina Fatimah dan Saidina Ali.
  2. Hassan dan Hussain dipilih oleh Allah menjadi “ " سيدا شبا اهل الجنة      iaitu ketua pemuda ahli  syurga.
  3. Anak perempuannya iaitu Saidatina Zainab mengadakan  majlis pengajian khusus untuk wanita menjadi seorang pejuang bersama Saidatina Hussain di Karbala’ dan  merupakan ahli sasterawan Islam pada zamannya.
  4. Ramai keturunan beliau menjadi ulamak dan tokoh ilmuan Islam hingga akhir zaman.

           6.  Tidak berbangga walaupun anak
                 Rasulullah.

  1. Tidak tamak menggunakan harta baitul-mal untuk kepentingan peribadi.
  2. Tidak mengambil kesempatan mendesak Rasulullah memberi  khadam (orang suruhan) kepadanya walaupun hidupnya susah.
  3. Sanggup menerima tetamu walaupun dari kalangan anak yatim, orangmiskin dan tawanan perang (beliau dan suaminya sanggup menahan lapar kerana menghidangkan makanan kepada tetamu)

   7.  Bertanggungjawab semasa ayahandanya
        sakit.

  1. Sentiasa berada di samping Rasulullah ketika baginda sakit.
  2. Amat mengambil berat dengan merawat dan menjaga makan minum  baginda.
  3. Ketika berumur 10 tahun, beliau membersihkan kepala dan belakang Rasulullah yang berlumuran najis kerana dilontar oleh musyrikin Quraisy ketika baginda sedang sujud berdekatan Kaabah.

SUMBANGAN  SAIDATINA FATIMAH AZ-ZAHRA’

1.       Menjadi pendorong dan motivasi kepada Rasulullah ketika baginda menerima tekanan dan tentangan musrikin Quraisy.
2.        Sentiasa memberi bantuan semasa Rasulullah menjalankan dakwah.
3.       Membantu suaminya Saidina Ali bin Abu Talib menyampaikan dakwah dan membuat persiapan untuk memasuki medan perang.
4.       Bersama-sama dengan wanita Islam memberi rawatan kepada tentera Islam yang cedera dalam peperangan Uhud.
5.       Menyediakan makanan untuk wanita Islam yang menggali parit dalam peperangan Khandak.

FAEDAH MENCONTOHI PERIBADI SAIDATINA FATIMAH

Sifat Peribadi
Faedah Mencontohi
Anak yang solehah

○Mendapat keredaan Allah.
○Mendapat restu daripada ibu bapa.
○Kehidupan diberkati Allah.
○Maruah ibu bapa terpelihara.
○Kehidupan ibu bapa semasa tua terjamin.
Isteri yang taat.

○Rumah tangga aman dan bahagia.
○Menjadi motivasi dalam kerjaya suami.
○Menjadi contoh kepada masyarakat.
○Mendapat rahmat & kasih sayang Allah.
○Disegani dan dihormati oleh masyarakat.
Ibu yang penyayang.
○Anak mendapat kasih sayang sempurna.
○Memberi pendidikan yang lengkap dan sempurna kepada anak-anak.
○Melahirkan anak-anak soleh yang menjadi pemimpin masyarakat & negara.
○Anak akan memberi syafaat pada hari  akhirat atas pendidikan yang diberikan

TAMADUN

Wanita Islam bersama-sama dengan kaum lelaki dalam memainkan peranan memartabatkan Negara Islam.  Wanita yang berakhlak mulia dapat melahirkan generasi yang berakhlak tinggi dan mempunyai semangat pengorbanan yang hebat.  Tangan yang menghayun buaian dapat melahirkan generasi yang menggoncang dunia.

KUIZ

  1. Nyatakan biodata Saidatina Fatimah Az-Zahra secara ringkas.  (4m)
  2. Senaraikan empat sifat terpuji Saidatina Fatimah Az-Zahra. (4m)
  3.  Jelaskan bagaimana Saidatina Fatimah Az-Zahra menjalani  kehidupan dengan sabar dan reda.  (4m)
  4.  Terangkan peranan Saidatina Fatimah Az-Zahra  membantu  perjuangan Rasulullah dalam peperangan Uhud dan Khandak. (4m)
  5.  Huraikan tiga faedah mencontohi peribadi Saidatina Fatimah sebagai  seorang anak yang soleh. (6m)

IBADAT




RUKHSAH SOLAT

SOLAT KETIKA SAKIT


Maksud rukhsah:  Kemudahan yang diberikan oleh Islam kepada umatnya untuk melakukan ibadat dalam keadaan tertentu.
                             
Maksud Solat Ketika Sakit
Menunaikan ibadat solat mengikut keupayaan disebabkan kesakitan yang menghalang daripada menunaikannya secara biasa.

KAIFIAT / CARA  SOLAT KETIKA SAKIT

Ada 5 cara:

  1. Secara Duduk 




Caranya
·         Duduk dalam keadaan iftirasy iaitu seperti duduk antara dua sujud.
·         Rukuk hendaklah ditundukkan kepala iaitu dahi berada setentang dengan tempat sujud.
·         Sujud dilakukan seperti biasa.

2.  Secara Mengiring  




Caranya:
  • Baring dalam keadaan mengiring di atas rusuk sebelah kanan.
  • Muka dan dada hendaklah mengadap kiblat. 
  • Rukuk dan sujud hanya dilakukan menerusi isyarat kepala.
       3.  Secara Menelentang


 

Caranya:
  • Berada dalam keadaan berbaring sambil menelentang.
  • Kaki menghala ke kiblat.
  • Kedudukan kepala ditinggikan sedikit agar muka dapat dapat mengadap kiblat.
  • Rukuk dan sujud hanya dilakukan melalui isyarat kepala. 
     
         4. Secara Isyarat Kelopak Mata

 Caranya:
  • Berada dalam keadaan berbaring sambil menelentang.
  • Kaki menghala ke arah kiblat.
  • Rukuk dilakukan dengan menggerakkan kelopak mata.
  • Sujud diisyaratkan dengan memejamkan mata.

  1. Secara Ingat Di Dalam Hati.
Caranya:
  • Solat dilakukan dengan membayangkan di dalam hati pergerakan mengikut tertib rukun.

Laman Nurani
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi bermaksud: “Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya beerti dia mendirikan agama, dan sesiapa yang meninggalkannya, beerti dia telah meruntuhkan agama.”

Hikmah Rukhsah Solat Ketika Sakit

  1. Menunjukkan bahawa Islam ialah agama yang mudah.
  2.  Supaya umat Islam dapat menunaikan kewajipan mereka dalam sebarang keadaan.
  3. Membuktikan bahawa Allah sayangkan hambaNya.

Sebab Diwajibkan Solat Walaupun Ketika Sakit

  1. Solat merupakan ibadat terpenting dalam Islam.
  2. Solat dapat mencegah seseorang daripada melakukan kemungkaran.
  3. Solat sebagai penawar kepada sakit.
  4. Mengharapkan pertolongan Allah ketika senang dan susah.
  5. Supaya hidup dan mati dalam iman.

PERBEZAAN RUKHSAH SOLAT KETIKA SAKIT DAN MUSAFIR

Cara Solat
Rukhsah ketika Sakit
Rukhsah Ketika Musafir
Keadaan Solat
Dilakukan mengikut keupayaan pesakit sama ada secara duduk, berbaring mengiring, menelentang, isyarat mata atau isyarat hati.
Boleh dilakukan secara jamak, qasar atau kedua-duanya sekali. Harus juga dilakukan secara sempurna.
Tempoh pelaksanaan
Sepanjang berada dalam keadaan sakit.
Semasa berada dalam musafir.

GALERI ILMU
Renungkan kata-kata Saidina Umar Al-Khattab yang bermaksud: “Hitunglah diri kamu sebelum diri kamu dihitung dan dihisab, dan timbanglah amalan kamu sebelum amalan kamu ditimbang.”

KUIZ
  1. Nyatakan tiga hikmah disyariatkan rukhsah solat ketika sakit. (6m)
  2. Jelaskan maksud solat ketika sakit. (2m)
  3. Terdapat orang yang sengaja meringan-ringankan kefarduan solat. 
  4. Bincangkan sebab terjadinya perkara ini.  (4m)


AKIDAH

 
2. RASUL-RASUL YANG WAJIB DIKETAHUI

1. Nabi Adam a.s: Nabi dan manusia pertama di bumi. Dicipta daripada tanah. Asal keturunan semua manusia. Isterinya Hawa dicipta daripada tulang rusuk baginda. Pada mulanya mereka berdua tinggal di syurga, kemudian Allah menurunkan mereka ke dunia.


2. Nabi Idris a.s: Diutuskan Allah kepada penduduk negeri Babil (Iraq). Menerima 30 suhuf untuk disampaikan kepada umatnya iaitu keturunan Qabil yang derhaka kepada Allah.  Baginda ialah manusia pertama pandai menulis, membaca, mengetahui ilmu falak, dan mahir jahit menjahit.

3. Nabi Nuh a.s: Keturunan ke-10 daripada Nabi Adam. Diutuskan ke Negeri Armenia. Baginda berdakwah siang dan malam, tetapi kebanyakan umat baginda ingkar termasuklah seorang isteri dan anak lelaki baginda. Allah telah membinasakan mereka dengan banjir besar. Hanya orang beriman yang menaiki bahtera Nabi Nuh sahaja yang selamat. Gelaran baginda: Najiyullah.

4. Nabi Hud a.s: Berketurunan Sam bin Nuh. Diutuskan kepada kaum Ad yang tinggal di utara Hadramaut di Yaman. Kaum ini terkenal dengan tubuh badan yang besar, tenaga yang sangat kuat, kaya raya serta mahir membina benteng kukuh. Kaum Ad adalah penyembah berhala dan mempersendakan ajakan menyembah Allah. Allah membinasakan mereka dengan angin kencang yang sangat sejuk sehingga meresap ke tulang sum-sum selama 8 hari 7 malam terus menerus.

5. Nabi Soleh a.s: Berketurunan Sam bin Nuh daripada generasi ke-6. Kaumnya Tsamud, yang mendiami tempat yang terletak di antara Hijaz (Arab Saudi)  dan Syam (Syria) di sebelah tenggara negeri Madyan di Jordan. Mereka kufur kepada Allah dengan menyembah berhala dan bersikap takbur. Allah memusnahkan mereka dengan pekikan suara yang sangat kuat dari langit dan gempa bumi yang amat dahsyat.

6. Nabi Ibrahim a.s: Juga berketurunan Sam bin Nuh. Dilahirkan di negeri Mosul (Iraq) semasa pemerintahan Raja Namrud yang kufur dan zalim. Sebahagian besar kaumnya menyembah berhala dan menentang dakwahnya. Baginda ialah seorang yang bijak berfikir. Gelarannya Khalilullah.

7. Nabi Lut a.s: Anak saudara Nabi Ibrahim. Allah mengutuskan baginda kepada penduduk negeri Sadum yang kini dikenali sebagai Laut Mati, Jordan. Penduduknya amat derhaka kepada Allah dan sangat buruk budi pekertinya. Mereka merompak, menganiayai, dan mengamalkan liwat (homoseksual).  Akhirnya Allah menterbalikkan negeri mereka dan menurunkan hujan batu yang membinasakan mereka.


8. Nabi Ismail a.s: Putera Nabi Ibrahim dan Hajar. Nabi Ismail dan ibunya adalah orang terawal mendiami Mekah. Allah telah menganugerahkannya keturunan terdiri daripada kabilah-kabilah Arab. Daripada keturunan inilah lahirnya Nabi kita Muhammad. Nabi Ismail telah membantu ayahnya Nabi Ibrahim membina Kaabah.  Gelaran baginda ialah ‘ Zabihullah’.

9. Nabi Ishak a.s: Baginda ialah putera Nabi Ibrahim dan isterinya Sarah. Baginda adik sebapa Nabi Ismail. Daripada keturunan baginda lahirnya para nabi dalam kalangan Bani Israil. Baginda dimakamkan di Hebron, Palestin.

10. Nabi Ya’kub a.s: Baginda ialah putera Nabi Ishak. Baginda juga dikenali dengan nama Israil yang bermaksud hamba Allah. Allah mengutuskannya kepada penduduk negeri Kan’an (Palestin). Baginda dikurniakan 12 orang anak lelaki, antaranya ialah Nabi Yusuf. Daripada mereka lahirnya keturunan Bani Israil. Baginda dimakamkan di Hebron bersebelahan makam bapanya Nabi Ishak.


11. Nabi Yusuf a.s: Baginda ialah putera Nabi Ya’kub yang amat disayangi ayahandanya kerana berakhlak mulia. Nabi Yusuf seorang yang amat sabar menghadapi dugaan hidup. Bersikap pemaaf, penyayang, dan sangat menghormati kedua-dua ibu bapanya. Keistimewaan baginda ialah sangat kacak, pandai mentadbir mimpi, dan bijaksana sehingga baginda dilantik sebagai menteri yang menjaga perbendaharaan di Mesir.


12. Nabi Ayub a.s: Keturunan Nabi Ishak. Allah mengurniakan baginda harta yang banyak dan anak yang ramai. Sangat bertakwa dan suka membantu fakir miskin dan anak yatim. Allah menguji baginda dengan kemusnahan harta, kematian anak dan mengidap penyakit yang berat bertahun-tahun. Baginda menempuh musibah dengan sabar dan iman yang teguh. Akhirnya Allah menyembuhkan penyakit baginda dan mengembalikan nikmat kehidupan seperti sebelumnya.

 
13. Nabi Zulkifli a.s: Putera Nabi Ayub. Seorang nabi dan raja yang telah diutuskan Allah kepada penduduk Damsyik dan sekitarnya. Asal nama baginda ialah Bassyar dan dinamakan Zulkifli ertinya yang berkesanggupan kerana banyak berpuasa pada siang hari dan beribadat pada waktu malam. Seorang yang amat penyabar dan bijak mengatur waktu ketika menjadi raja.

14.  Nabi Syuib a.s: Berketurunan Nabi Lut. Diutuskan ke negeri Madyan di Jordan. Kaumnya telah menyimpang daripada ajaran-ajaran nabi terdahulu dengan mengamalkan sikap mengurangkan timbangan dan sukatan dalam urusan jual beli. Nabi Syuib melarang mereka, tetapi tidak dihiraukan. Akhirnya Allah membinasakan mereka dengan gempa bumi dan petir yang sangat dahsyat.

15.  Nabi Musa a.s:  Baginda berketurunan Nabi Ya’kub, putera Imran dan bersaudara dengan Nabi Harun. Baginda dilahirkan di Mesir semasa pemerintahan Firaun yang zalim dan mendakwa dirinya tuhan. Firaun telah memerintahkan tenteranya membunuh semua bayi lelaki daripada keturunan Bani Israil. Walau bagaimanapun Nabi Musa terselamat daripada tindakan itu. Baginda telah dipelihara di istana oleh Asiah, isteri Firaun. Setelah menjadi rasul, Nabi Musa telah diperintahkan Allah untuk mendakwah Firaun tetapi Firaun menentang dakwah baginda, akibatnya Firaun dan tenteranya telah mati lemas tenggelam di dalam Laut Merah. Gelaran baginda ialah ‘Kalimullah’ kerana dapat bercakap dengan Allah di Bukit Tursina. Baginda diberikan kitab Taurat.

16. Nabi Harun a.s: Baginda ialah saudara Nabi Musa. Baginda sangat fasih berbicara. Menjadi teman berdakwah yang sentiasa bersama-sama Nabi Musa dan membantunya dalam menyampaikan risalah tauhid kepada bani Israil dan penduduk Mesir.

17. Nabi Daud a.s : Berketurunan Nabi Ishak. Keistimewaan baginda ialah memiliki suara yang merdu, boleh melembutkan besi dengan tangan untuk baginda membuat baju perang. Walaupun seorang raja, baginda bekerja sendiri untuk memenuhi keperluan hidupnya. Baginda juga kuat beribadat seperti berpuasa berselang hari sepanjang tahun. Baginda ialah seorang raja yang adil lagi bijaksana dan telah membina Kota Baitul Maqdis bersama-sama puteranya Nabi Sulaiman dan wafat di situ.

18.  Nabi Sulaiman a.s. : Putera Nabi Daud. Seorang rasul dan raja yang bijaksana. Allah telah mengurniakan banyak keistimewaan kepada baginda seperti memahami bahasa binatang dan boleh memerintah jin dan angin. Baginda telah berjaya mengislamkan Ratu Balqis, kemudian berkahwin dengannya.

19. Nabi Ilyas a.s.: Berketurunan Nabi Harun. Allah mengutuskannya kepada bani Israil yang ketika itu menyembah berhala bernama Ba’lun. Baginda menyeru mereka menyembah Allah, tetapi mereka bukan sahaja menolak dakwahnya, malah berusaha untuk membunuh Nabi Ilyas. Akhirnya Allah menurunkan bala kepada kaumnya dengan kemarau selama 3 tahun.

20. Nabi Ilyasa’ a.s.: Baginda anak angkat Nabi Ilyas dan diutuskan kepada bani Israil. Baginda berjaya menyeru umatnya kembali menyembah Allah. Kaumnya hidup dalam keadaan aman dan damai, tetapi setelah Nabi Ilyas wafat, mereka kembali kufur. Allah menimpakan bala dengan melenyapkan segala kesenangan yang dinikmati.


21. Nabi Yunus a.s.: Diutuskan kepada kaum yang menyembah berhala di Ninawa, Iraq. Apabila mereka enggan menerima dakwah, Nabi Yunus meninggalkan mereka dan menumpang sebuah kapal. Ketika dalam perjalanan, kapal ini menghadapi masalah ombak besar dan ribut taufan yang boleh menenggelamkannya. Setelah dilakukan undian sebanyak 3 kali, baginda telah terpilih untuk dibuang ke laut bagi mengatasi masalah itu. Setelah dicampakkan ke laut, baginda telah ditelan oleh ikan nun (paus). Ketika berada di dalam perut ikan, baginda sentiasa bertasbih dan beristighfar sehinggalah Allah mengeluarkannya daripada perut ikan itu. Kemudian baginda pulang menemui kaumnya yang telah beriman kerana insaf dan takut akan azab Allah.

22. Nabi Zakaria a.s.: Berketurunan Nabi Sulaiman yang diutuskan kepada bani Israil di Palestin. Baginda sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan zuriat. Walaupun usianya menjangkau 100 tahun dan isterinya pula mandul, baginda tidak berputus asa. Akhirnya Allah mengurniakan anak lelaki yang dinamakan Yahya ertinya ‘Hidup’. Di samping itu baginda juga telah membesarkan Maryam, bonda Nabi Isa.

23. Nabi Yahya a.s.: Baginda ialah putera Nabi Zakaria. Allah mengurniakan kepada baginda ilmu yang luas sejak kecil lagi dan memeliharanya daripada maksiat. Baginda seorang nabi yang bertakwa, berbudi bahasa, rajin berbakti terhadap ibu bapa, dan tidak sombong. Nabi Yahya dan ayahnya telah mati syahid demi mempertahankan hukum Allah. Baginda berdua dibunuh oleh raja yang zalim kerana menghalang raja tersebut mengahwini anak tirinya sendiri.

24. Nabi Isa a.s. :  Baginda ialah putera Maryam binti Imran. Dengan kekuasaan Allah, malaikat Jibril telah meniupkan roh suci ke dalam rahim Maryam. Maka lahirlah Nabi Isa tanpa bapa. Antara keistimewaan baginda ialah boleh bercakap ketika masih bayi. Baginda diutuskan kepada bani Israil dan diberikan kitab Injil. Hanya segelintir sahaja daripada kaumnya yang beriman dan dikenali dengan gelaran ‘Al- Hawariyyun’ , sedangkan ramai lagi yang menentang seruan baginda. Mereka berusaha menangkap dan membunuh baginda. Tetapi Allah telah menyelamatkan baginda dengan diangkat ke langit dan akan diturunkan kembali ke bumi untuk menegakkan kebenaran Islam ketika hampir kiamat.

25. Nabi Muhammmad s.a.w.: Junjungan ialah Muhammmad bin Abdullah bin Abdul Muttalib daripada keturunan Nabi Ismail. Baginda dilahirkan di Kota Mekah. Ketika remaja lagi nabi kita Muhammad terkenal sebagai seorang yang jujur sehingga digelar ‘Al-Amin’. Ketika berusia 40 tahun Allah telah melantik junjungan sebagai rasul kepada seluruh alam dan diwahyukan kitab al-Quran.  Junjungan merupakan penghulu sekalian rasul (sayyidul mursalin) dan nabi terakhir (khatamul anbiya’).  Ketika berdakwah, junjungan telah menanggung pelbagai ujian dan cubaan daripada kaum musyrikin Quraisy. Junjungan berjaya melakukan perubahan besar yang menakjubkan dalam sejarah bangsa Arab dan umat manusia seluruhnya. Junjungan wafat di Kota Madinah al-Munawwarah.

Demikianlah secara ringkas kisah kehidupan rasul-rasul yang wajib diketahui. Semua rasul memiliki sifat-sifat mulia, bertakwa, kuat beribadat, dan gigih berjuang menyebarkan agama Islam. Oleh itu, kita hendaklah berusaha mencontohi mereka dengan mengamalkan akhlak mulia seperti sabar, sanggup berkorban, gigih berjuang, dan bertawakal kepada Allah.

RASUL-RASUL ULUL AZMI

Maksud Rasul Ulul Azmi 
  • Mereka yang cekal hati, kuat keazaman dan amat sabar menempuh pelbagai rintangan serta kesusahan dalam menegakkan agama Allah.

Contoh Kecekalan Hati Dan Kesabaran Rasul-Rasul Ulul Azmi


1.  Nabi Ibrahim
  • Baginda diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail.
  • Baginda tabah menghadapi tentangan kaumnya sehingga diuji dengan dicampak ke dalam api.

2.  Nabi Nuh
  • Baginda sabar menyeru kaumnya agar beriman selama 950 tahun.
  • Hanya beberapa orang sahaja yang beriman dan selebihnya menolak seruan baginda.

3.  Nabi Musa
  • Baginda telah bertemu Firaun dan para pembesarnya dengan hati yang cekal dan tabah.
  • Baginda menyeru mereka beriman walaupun menyedari risiko kemungkinan dibunuh.

4.  Nabi Isa
  • Baginda tabah menghadapi tentangan dan ancaman bunuh daripada kaumnya.
  • Baginda juga telah dikhianati oleh sahabat karibnya iaitu Yahuza Al-Askharyuti.

5.  Nabi Muhammad s.a.w.
  • Baginda sabar menghadapi tentangan kaumnya yang mengancam untuk membunuhnya.
  • Junjungan juga tabah menghadapi pelbagai ujian ketika berhijrah ke Madinah.

Ciri-Ciri Rasul Ulul Azmi
  1. Memiliki sifat yang cekal dan tabah. 
  2. Paling banyak menanggung ujian dalam perjuangan
  3. Sabar dan mempunyai keazaman yang kuat ketika berdepan dengan musuh. 
  4. Mempunyai sifat kecekalan dalam perjuangan menegakkan agama Allah
 
Penghayatan
  1. Tekun, cekal, dan memiliki keazaman yang kuat dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  2. Sabar dan tabah apabila menghadapi ujian dalam kehidupan.
  3. Sanggup berkorban dan sentiasa memberi bantuan kepada rakan-rakan dan guru-guru.

TAMADUN
    Sesungguhnya para rasul merupakan kumpulan manusia yang terpilih dan amat istimewa.  Mereka merupakan pemimpin perubahan yang gigih berjuang membetulkan akidah demi menyelamatkan umat daripada kesesatan.  Mereka juga telah mimimpin umatnya mencapai kemajuan dan kemakmuran hidup dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial. 
    Oleh itu, kita hendaklah berusaha membudayakan ciri-ciri kecemerlangan seperti sanggup berkorban dan bersusah payah demi memajukan negara yang bertamadun.


KUIZ
  1. Ceritakan sejarah ringkas nabi-nabi berikut:
       i.   Nabi Idris a.s.
       ii.  Nabi Sulaiman a.s.
       iii. Nabi Ya’kub a.s.          (6m)
  1. Senaraikan nabi-nabi yang bergelar ulul azmi.  (5m)
  2. Mengapakah mereka digelar sedemikian?    (2m)
  3. Terangkan tiga contoh kesabaran dan kecekalan hati yang ditunjukkan oleh rasul-rasul ulul azmi.    (6m)
  4. Nabi Muhammad s.a.w. telah melakukan perubahan besar terhadap tamadun dan peradaban manusia. 
  5. Kemukakan contoh perubahan yang telah dilakukan oleh baginda.  (2m)